Peguam Syarie Menulis: Ijtihad berkumpulan mampu atasi permasalahan masyarakat
UMAT Islam hari ini memerlukan ijtihad yang
bersifat kontemporari. Ijtihad boleh disifatkan sebagai penyelidikan
ilmiah yang serius dan berwibawa oleh orang yang berkelayakan dalam
sesuatu bidang.
Perkara ini perlu diberi perhatian kerana
timbul persoalan yang memerlukan kita menilai kembali ijtihad ulama
terdahulu. Suasana persekitaran yang berubah dan masyarakat Islam pada
hari ini menjadi bertambah kompleks.
Sebenarnya ijtihad ini
secara amalannya telah dilakukan oleh Rasulullah SAW, terutama apabila
wahyu lewat turun bagi memberi penyelesaian kes yang memerlukan
keputusan segera daripada Baginda.
Sahabat juga melakukan
ijtihad mereka pada zaman Rasulullah SAW, terutama apabila mereka
berada jauh daripada Baginda dan persoalan yang ditimbulkan memerlukan
jawapan segera.
Namun, ijtihad seperti ini secara teorinya
tidak dianggap sebagai salah satu sumber hukum Islam pada ketika itu.
Wahyu masih lagi diturunkan dan Rasulullah SAW ada bagi memberi jawapan
yang muktamad kepada setiap persoalan.
Tujuan ijtihad ini
diamalkan pada zaman Rasulullah SAW bagi melatih sahabat berijtihad
supaya apabila Baginda wafat nanti, mereka tidak akan berasa susah
untuk mengamalkan ijtihad itu. Ia juga untuk memberi jawapan segera
kepada masyarakat tanpa perlu menunggu jawapan daripada Rasulullah SAW.
Hanya apabila Rasulullah SAW wafat, barulah ijtihad ini diterima
sebagai sumber hukum. Bagaimanapun, sahabat berbeza pendapat dan
mempunyai kecenderungan berbeza di antara mereka. Perbezaan pendapat
ini kemudian menghasilkan pelbagai aliran di kalangan mereka dalam
melihat sesuatu persoalan.
Perbezaan kecenderungan ini adalah
hasil kepada perbezaan dalam sahabat itu sendiri dari segi kecerdikan,
keintelektualan, pengalaman dan sebagainya.
Justeru, dapat
disimpulkan bahawa perbezaan pendapat memang telah wujud sejak zaman
dulu lagi. Perkara ini menunjukkan keanjalan hukum Islam yang boleh
disesuaikan dengan masa dan tempat.
Pada masa ini, cabaran
lebih besar dapat dilihat daripada kemampuan ulama memahami
persekitaran baru yang menjadi wadah sebenar ijtihad.
Ulama
tersohor, Yusof Al-Qaradhawi pernah menimbulkan masih ramai yang
berkecimpung dalam pengajian hukum Islam kerana begitu terpesona dengan
keagungan fiqh klasik berpandangan bahawa ijtihad tidak perlu diadakan.
Bagi golongan ini apa saja persoalan yang ditimbulkan sekarang
jawapannya ada tersedia dalam kitab fiqh klasik yang menjadi warisan
agung keilmuan Islam yang tidak ada tolok bandingnya itu. Ini bererti
apa yang perlu dilakukan hanya dengan merujuk kepada kitab fiqh yang
ada bagi memperoleh hukum berkenaan.
Natijah daripada
pendekatan sebegini, kita mendapati jawapan hukum yang diberikan oleh
ulama kita tidak mampu merungkaikan permasalahan sebenar masyarakat.
Apa yang dilakukan hanya menegaskan kembali apa yang ditegaskan ulama
terdahulu. Mereka tidak mengambil kira kelainan realiti hidup hari ini
yang menjadi latar belakang kepada jawapan hukum berkenaan antara dua
zaman yang berbeza.
Al-Qaradawi juga pernah menegaskan bahawa
ijtihad yang perlu dilakukan pada hari ini sepatutnya perlu berasaskan
kepada al-Quran dan Sunnah serta penilaian semula sepenuhnya realiti
baru yang ada.
Huraian fuqaha terdahulu bolehlah dijadikan sumber sejarah dalam ijtihad dan dikaji asas kenapa ijtihad sebegitu dibentuk.
Oleh kerana masyarakat yang begitu kompleks pada hari ini dan teknologi
mutakhir yang berlaku di dunia ini, maka cabaran paling getir bagi
mujtahid ialah memahami secara mendalam hakikat kehidupan sebenar yang
ada bagi dijadikan asas yang kukuh kepada penentuan hukum.
Sistem pendidikan pada masa ini pula tidak menjurus ke arah itu kerana
orang yang pakar di dalam suatu bidang, tidak arif dalam bidang lain.
Contohnya, pakar di dalam hal ehwal agama tidak mempunyai asas
kefahaman mendalam dalam bidang sains dan teknologi. Begitu juga
sebaliknya.
Bagi mengatasi kelemahan ini ramai fuqaha zaman ini
mengamalkan ijtihad yang dilakukan secara berkumpulan (jamaiy). Ia
dilakukan dengan menghimpunkan pakar dalam bidang tertentu dan
kepakaran semasa. Mereka berkumpul dan berbincang bagi mencari jawapan
kepada persoalan yang ditimbulkan. Dengan cara ini, jawapan yang
digarap hasil daripada perbincangan dan kajian itu akan lebih bersifat
kontemporari dan diterima oleh masyarakat.
Dengan adanya
ijtihad jamaiy sebegini, akan hilanglah suara yang menyatakan hukum
Islam itu kolot, ketinggalan zaman atau tidak praktikal. Tanggungjawab
ini harus dipikul oleh ilmuwan Islam dalam pelbagai disiplin ilmu.
Mereka hendaklah berganding bahu mempamerkan kepakaran masing-masing
bagi dimanfaatkan oleh masyarakat Islam secara keseluruhannya.
Namun, ini tidak bermakna sesiapa saja boleh berijtihad dan
mengeluarkan hukumnya sendiri. Jika hal ini dibiarkan akan kucar-kacir
hukum Islam. Setiap orang akan mengeluarkan hukumnya sendiri yang
difikirkan sesuai oleh akalnya.
Biarlah persoalan sebegini
dikaji oleh orang yang mempunyai kepakaran di dalam bidang tertentu dan
dikawal oleh fuqaha atau ulama. Mereka berperanan untuk memastikan
segala hukum yang dikeluarkan itu tidak tergelincir daripada landasan
yang disediakan hukum syarak.
Fuqaha dan kumpulan pakar ini
boleh bertukar-tukar fikiran dalam permasalahan yang ditimbulkan dan
mencari titik persamaan bagi persoalan itu dalam usaha mencari jalan
penyelesaiannya.
Memanglah di dalam proses itu akan timbul
perbezaan pandangan antara kedua-dua golongan, tetapi keutamaan yang
perlu diberi perhatian ialah saling hormat menghormati dan menghargai
pandangan orang lain.
Sifat terbuka dan telus di dalam usaha
untuk mencari jalan penyelesaian yang diasaskan oleh hukum syarak
hendaklah sentiasa diamalkan. Dengan cara ini segala persoalan itu akan
menjadi lebih mudah untuk dijawab.
Gabungan dua golongan ini
akan menghasilkan penyelidikan yang lebih mantap, di samping tidak
meninggalkan realiti sebenar permasalahan yang dialami oleh masyarakat.
Mudah-mudahan ijtihad secara jamaiy ini dapat dilakukan dengan meluas
di dalam dunia Islam. Kita akan lihat suatu hari nanti hukum Islam
lebih moden, pragmatik dan sesuai diamalkan sepanjang masa.
INTI PATI
Ijtihad yang perlu dilakukan pada hari ini sepatutnya berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah
Ramai fuqaha zaman ini melakukan ijtihad secara berkumpul
Tidak bermakna sesiapa saja boleh berijtihad dan mengeluarkan hukum
sendiri. Jika hal ini dibiarkan akan kucar-kacir hukum Islam
Berita Harian
22 Mac 2006