Tajdid Iman: Rahsia kelebihan selawat

Bersama Dr Juanda Jaya

 

GOLDZHIHER, seorang orientalis
terkenal menyatakan: "Tidaklah menghairankan jika Muhammad menjadi seorang
Nabi, kerana Isa dan Musa juga nabi. Sesungguhnya yang menghairankan adalah beliau
menetap selama 40 tahun di Makkah tanpa belajar sama sekali di sekolah atau
berguru dengan seorang guru. Kemudian setelah 40 tahun, beliau tiba-tiba
berubah menjadi seorang pemberi fatwa terhebat, pensyarah ternama di mimbarnya,
orang yang paling petah bercakap, pemimpin serta pendidik teragung di dunia
ini. Inilah yang paling menghairankan mengenai Muhammad.”

 

Setiap bangsa pasti memiliki tokoh
dipuji dan menjadi inspirasi bagi generasi selepasnya. Kesan peninggalan mereka
menjadi sumbangan yang amat bererti untuk kemajuan bangsa dan negara.

Kisah hidup mereka dibukukan, idea dijadikan panduan dan kekentalan semangat
mereka menjadi obor optimisme yang sentiasa membakar jiwa generasi baru. Umat
Islam di seluruh dunia yang lahir daripada pelbagai etnik budaya dan bangsa
sepakat untuk mempunyai seorang yang teragung untuk diikuti. Beliau adalah
rasul yang amat dicintai, Muhammad SAW.

Tidak ada seorang manusia pun di bumi ini apabila kita menyebut namanya, mampu
melonjakkan revolusi kemanusiaan. Kita berubah menjadi manusia yang bersemangat
maju untuk mentadbir alam ini dengan jawatan sebagai Khalifatullah fil Ard.
Inilah cetusan himbauan seorang politikus paling ulung, pentadbir negara dan
pemimpin seluruh umat di dunia, Muhammad SAW.

Begitulah rahsianya mengapa kita disuruh untuk berselawat ke atas Nabi SAW.
Selawat umpama suntikan yang mengandungi kekuatan cinta dan rindu yang mengusik
jiwa. Ia mencerahkan wajah, mengukuhkan hentakan kaki dan tangan. ia juga
menajamkan akal fikiran dan merubah hidup anda menjadi tertumpu pada
perjuangan. Untuk umat, bangsa dan negara!

Selawat adalah bisikan kasih yang mengikrarkan janji manis untuk menjadi setia,
reda dan taat.
Bukan sekadar
hiasan pada bibir, pemanis mulut dan menunjuk riak pada sesama hamba.

Untuk apa selawat jika kenangan kita pada Rasulullah SAW hanya sekadar
mengharap pahala yang sepuluh! Sedangkan pada masa sama kita melupakan
cita-cita Baginda. Kita meninggalkan perjuangan sunnahnya, membiarkan umat ini
mati jiwa dan minda. Sibuk memecah belah perpaduan, suka menyalahkan golongan
lain dan hanya memuji golongannya sendiri.

Natijahnya, hilanglah kekuatan umat yang selama ini disatukan oleh rasul-Nya
SAW.
Jika Baginda
masih hidup, pasti berasa amat sedih melihat keadaan seperti ini. Untuk apa
selawat itu, padahal di hati rasul-Nya dilanda kesedihan.

Pujilah Rasulullah SAW dengan berselawat kepadanya. Tetapi, berselawatlah
dengan nurani yang suci, pemikiran dan idea yang berisi inspirasi.
Gerakan yang terfokus pada amal yang
soleh dan perjuangan membangunkan umat. Panduan kita adalah sabda Baginda yang
maksudnya: "Sesiapa yang tidak menyukai sunnahku dia bukan termasuk
golonganku." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Setiap Muslim yang berazam ingin meneruskan perjuangan Nabi SAW kadang-kadang
berasa patah semangat dengan ujian yang menjadi rintangannya. Ada juga yang api
semangatnya terlalu berkobar-kobar hingga membakar diri sendiri. Sebahagian
yang lain mencuba untuk melakukannya secara berkumpulan. Akhirnya, pengorbanan
mereka menjadi agenda terselubung untuk kepentingan pemimpin yang tidak
bertanggungjawab.

Gerakan dakwah yang dilakukan terpesong menjadi usaha untuk mencari nama,
mengejar populariti dan memperbanyak pengikut yang mahu dicucuk hidungnya
sesuka hati. Begitu juga ia digunakan untuk menebarkan fanatisme golongan
tertentu, yang akhirnya bersikap menyalahkan orang lain dan menimbulkan perpecahan
dalam tubuh umat. Itu semua adalah fenomena biasa dilihat dalam kehidupan
pejuang dakwah.

Jika kita bersikap terbuka dengan pendapat orang lain dan melapangkan hati
untuk memikirkan apakah kesilapannya, mungkin idea yang lebih jitu dan
perancangan yang lebih teliti dapat dilakukan

Perjuangan Rasulullah SAW bermula dari dalam rumah Baginda. Isteri yang
dikasihi adalah objek dakwah pertama, kemudian anak-anak dan ahli keluarga
terdekat. Bagaimana dengan isteri dan anak kita? Sudahkah mereka mendirikan
solat, berakhlak mulia dan taat setia kepada Allah dan rasul-Nya?

Kemudian Rasulullah SAW mengumpulkan kekuatan yang berada pada diri sahabatnya.
Pada diri Abu Bakar kita belajar bahawa dakwah akan menang dengan kekuatan
harta. Kekayaan pada tangan seorang yang beriman menjadi faktor penolong untuk
agama Allah.

Untuk itu umat Islam mesti keluar daripada paras kemiskinan supaya tidak
terbelenggu dengan kezaliman penjajah. Ekonomi kita boleh dijajah, anak bangsa
diperbodoh, hasil bumi dan kekayaan negara menjadi rebutan musuh-musuhnya.
Relakah kita mengalami kejadian yang
sama seperti saudara kita yang dijajah? Oleh itu, berjuanglah seperti apa yang
diperjuangankan oleh Abu Bakar al-Siddiq.

Dalam peribadi Umar al-Khattab kita belajar bahawa dakwah akan menang dengan
ketokohan dan populariti yang karismatik supaya Islam dihormati kerana potensi
unggul yang ada pada diri umatnya.

Jadilah orang yang bertanggungjawab di rumah, pejabat, jalan raya, pasar,
sekolah, ladang dan kilang.
Juga di
mana saja kita berada, menyumbanglah untuk Islam, bangsa dan negara.

Sudahkah bangsa kita maju dengan potensi ilmu dan teknologi yang mampu
menggerunkan bangsa lain? Sesungguhnya dalam diri Umar, murid dan pengikut
setia Rasulullah SAW ada kekuatan yang cukup menggerunkan lawannya. Bagaimana
dengan kita?

Begitu agungnya perjuangan yang dibentangkan Rasulullah SAW di hadapan
sahabatnya. Inilah jalanku, sesiapa yang mengikuti sunnah perjuanganku akan
bersamaku di syurga.

Mereka saling bersaing untuk memberi sumbangan kepada Allah dan rasul-Nya.
Dengan harta, ilmu, kekuatan fizikal, bahkan menyerahkan jiwa pun mereka
sanggup melakukannya demi cinta kepada Allah dan rasul-Nya. Begitulah kekuatan
selawat yang melahirkan gerakan untuk mengikuti perjuangan Nabi SAW.

INTI-PATI

  • Selawat
         adalah bisikan kasih yang mengikrarkan janji untuk menjadi setia, reda dan
         taat.
    Bukan
         sekadar hiasan pada bibir, pemanis mulut dan menunjuk riak pada sesama
         hamba.
  • Perjuangan
         Rasulullah SAW bermula dari dalam rumah Baginda. Isteri yang dikasihi
         adalah objek dakwah pertama, kemudian anak-anak dan ahli keluarga
         terdekat.
  • Kekayaan
         pada tangan seorang yang beriman menjadi faktor penolong untuk agama
         Allah.
  • Untuk itu umat Islam mesti keluar
         daripada paras kemiskinan supaya tidak terbelenggu dengan kezaliman penjajah.
Leave a Reply