Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya.
Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke katilnya.
Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang menangis
tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang perlu
dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan berdoa
semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan meronta
sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
"Terima
kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu apa nak
buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah seorang abang
kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.
Sebelum itu mereka
menghubungi saya melalui telefonmeminta saya segera datang untuk
membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."
Sedang
kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit kesakitan. Kali
ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya menakutkan
dan menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya
sakit mak,sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya."Berserta
raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar seperti
dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara
matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di wad
berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya
tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa? Apa
pula
kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
"Panggil ibunya segera," kata saya.
Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya saya.
Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas."
"Kalau
macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada melakukan
kesalahan besar kepada ibunya,sebab itulah dia menanggung azab yang begini rupa.Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja yang dapat
membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri
sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya semakin ingin mengetahui
puncanya kerana dengan latar belakang itu insya-Allah saya boleh cuba
carikan jalan lain untuk meredakan kesakitan Jalal.
"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu kami," jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan
tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan kepada saya
kisah yang sebenarnya,kisah yang cukup menyayat hati saya. Menurutnya,
Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka,
Jalallah yang mempunyai
kelulusan yang lebih tinggi. bagaimanapun, sejak kecil hinggalah dia
bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa sahaja melawan dan
menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya pula
dipandang rendah serta tidak diendahkan.
Syurga anak di bawah
telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa
sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya.
Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi
semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah syarikat
swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di
syarikat lain, namun
nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah
menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang Jalal bekerja,
dia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia meletakkan
jawatan.
Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang daripada
sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin banyak, namun
dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga Jalal mula
kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan masalah
tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah mereka di
kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.
"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.
"Ahhh, saya tak kira."
"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.
Bukan
sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak membenarkannya
mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang dengan hati
kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah berkenaan
walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari, Jalal datang ke rumah
ibunya.
Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali lagi
pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat
menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak
ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu.
Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di lantai,
rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital sementara
Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat pendarahan
otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat melafazkan
keampunan kepada Jalal.
Bermulalah azab dalam hidup Jalal. Kira-kira
seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke hospital kerana
jatuh sakit secara tiba-tiba.
Apa yang membingungkan ialah doktor gagal
mengesan penyakit yang dihadapinya.Jalal sebaliknya meraung,
menjerit,meronta dan menggelepar kesakitan. Dalam raungannya itulah dia
meminta ampun kepada arwah ibunya kerana tidak sanggup menanggung azab
yang pedih.Berterusanlah keadaannya selama beberapa hari hingga saya
dipanggil.
Dalam waktu itu, doktor dan jururawat tidak dapat berbuat
apa-apa kecuali mengikat Jalal di katil dan menyuntiknya dengan ubat
pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.
Di
samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal menjerit
kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.
"Aduh
panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke situ emak,
panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit. Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."
Jeritan Jalal itu
meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya dengan ‘ke situ’?
Kenapa Jalal tidak mahu dibawa ‘ke situ’ dan apa yang dilihatnya di
situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil. Selepas puas mencuba tapi
keadaan Jalal masih tidak berubah, saya meminta diri untuk pulang.
Satu ingatan saya tinggalkan kepada mereka, "Jika Jalal masih hidup
selepas zuhur ini, insya-Allah nyawanya masih panjang. Kalau tidak…"
Ketika itu lebih = kurang pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu,telefon bimbit saya berdering.
"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.
Saya
berpatah balik dan apabila sampai di katilnya,saya lihat Jalal begitu
tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya semakin
cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya bacakan Surah
al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul husna.
Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar. Keadaan senyap
seketika.
Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat suci
al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka.Tiba-tiba, ketenangan itu
dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia mengerang sambil
tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil seperti hendak
terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga najisnya terpancut
keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis menusuk hidung kami.
Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti sesuatu yang berat
menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa, roh, najis, organ-organ
dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh terhambur keluar secara serentak.
Di bahagian atas, semuanya seperti hendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut.
Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata,
peluh serta najisnya. Selepas ‘rentapan’ itu, Jalal tidak bernafas
lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya
cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga Allahyarham
menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan terpaksa keluar
kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka. Demikianlah
sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang dijelaskan di dalam
al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap, merentap dan merenggut
nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah berpuluh-puluh tahun saya
menguruskan jenazah dan melihat orang menghadapi saat kematiannya,
namun pengalaman menyaksikan sakaratulmaut menjemput Jalal cukup
memilukan hati saya.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal
sudah berakhir, namun mayatnya meninggalkan keaiban yang amat sangat.
Matanya terbonjol seperti hendak terkeluar sementara giginya
menyeringai. Dari kerut wajahnya, jelas sekali Allahyarham baru sahaja
menanggung kesakitan dan azab yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata
Allahyarham, namun gagal. Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup
biji matanya yang tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata
putih sahaja yang kelihatan. Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham
dileraikan dan tangannya dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan,
namun sekali lagi saya menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh
dirapatkan kerana duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah
kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda
dengan apa yang telah terjadi. Selesai membersihkan tubuh
Allahyarham,jenazah dibawa turun kerana keluarganya mahu menguruskan
jenazah tersebut di rumah mereka di salah sebuah taman perumahan di
sebuah negeri di pantai barat semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum
berakhir. Sebaik sahaja van yang membawa Allahyarham keluar dari
perkarangan hospital, tiba-tiba keempat-empat shock absorbernya patah
secara serentak. Van yang cuma membawa lima orang, mayat yang badannya
sederhana sahaja, dua orang abang dan kakaknya, pemandu serta seorang
pembantu, boleh patah shock absorbernya? Kelindan van bergegas
memanggil kami.
Maha suci Allah, Tuhan yang Maha Besar,apabila
hendak dikeluarkan dari van, jenazah itu kami rasakan teramat berat
hingga terpaksa diangkat oleh kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu,
satu lagi masalah timbul - tidak ada van atau kereta yang berani untuk
mengangkat jenazah tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang
mengangkat tanah, pasir ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian.
Dengan lori itulah jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang
membingungkan kami ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi
kayu penusungnya tidak pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham
sementara saya pula memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa
Allahyarham dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga
kepada saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak
mencukupi. Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain
terpaksa diambil dan ditambun ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada keluarga Allahyarham.
"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."
"Apa masalahnya itu?" tanya saya.
"Kubur adik saya berlubang ustaz."
Masya-Allah,
demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada anak yang derhaka
kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan lubang itu disedari
sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang tersebut bermula dari
bahagian tengah kubur hinggalah mencecah kepada papan yang menutup
liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi, mereka mengambusnya dengan
tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.
Namun
keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi saya
memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang
membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak berubah,
masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan. Bukan
itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga hidup
segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati kelayuan. Pada
hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
"Begini
sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin dan tahlil.
Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin sebanyak 2 kali.
Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan doa supaya diampunkan
dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam Bahasa Melayu dan ulang doa
itu sebanyak tujuh kali." Seperti yang saya nasihatkan, pada malam
berkenaan mereka mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut menggigil ketakutan.
Alhamdulillah,
pada hari ketujuh, kubur berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini
sudah berlaku empat tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata
saya. Setiap kali tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah
peristiwa tersebut menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma
beberapa hari selepas kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya,
ketika orang sedang bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga
tersebut ditimpa petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang
derhaka diazab hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan
bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun keluarganya, tapi supaya
kita dapat mengambilnya sebagai pedoman dan iktibar.Doakanlah semoga
dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.
send:er: cerita ini diambil dari teratakburukzam.blogspot.com