Oleh: AZNAN BAKAR
KUALA LUMPUR 3 Mac – Rakyat negara ini bakal berhadapan dengan kenaikan harga
ubat 10 kali ganda lebih tinggi jika Amerika Syarikat (AS) memaksa Malaysia
melaksanakan dasar Data Eksklusif melalui Perjanjian Perdagangan Bebas
(FTA).
Setiausaha Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Martin Khor berkata, pada masa
ini ubat yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan dan yang diimport terutama
untuk penyakit AIDS, lelah, Parkinson dan jantung adalah dari jenis tidak
berjenama atau generik yang harganya jauh lebih murah.
Katanya, melalui FTA dibimbangi AS akan memaksa Malaysia melaksanakan dasar
Data Eksklusif tersebut yang mana hanya ubat berjenama dan telah dipatenkan
terutama yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat negara itu sahaja boleh dijual
berbanding ubat generik.
“AS mahukan paten diberikan perlindungan lebih kukuh melalui mekanisme baru
dikenali sebagai dasar Data Eksklusif’ yang menyukarkan sama sekali pengeluar
ubat generik memasarkan produk mereka di sini,’’ katanya pada temu bual dengan
Mingguan Malaysia, di sini.
Oleh itu, katanya, jika syarat tersebut diutamakan oleh AS dan
perunding-perunding Malaysia tunduk kepadanya bermakna rakyat negara ini
terpaksa membayar harga lebih tinggi untuk ubat-ubatan pada masa depan.
“Ini perkara berkaitan hidup dan mati kerana harga ubat meningkat dan mereka
(pesakit) pula tidak boleh mendapatkan ubat yang murah,” katanya.
Daripada kajian, katanya, Korea misalnya menjangka jika paten dadah untuk
ubat dilanjutkan bagi tempoh empat tahun akibat perjanjian FTA, rakyat negara
itu terpaksa membayar kos tambahan sebanyak AS$750 juta (RM2.63 bilion) bagi
mendapatkan ubat-ubatan.
Malah, katanya, Kanada yang telah menandatangani FTA dengan AS mendapati
terpaksa membayar AS$600 juta (RM2.1 bilion) lebih tinggi untuk mendapatkan
ubatubatan disebabkan adanya dasar Data Eksklusif itu.
Bagaimanapun, menurut Khor, Malaysia bertindak bijak dalam tempoh dua tiga
tahun lalu apabila Kementerian Kesihatan mengeluarkan lesen untuk mengimport
dadah dari India bagi pesakit HIV/AIDS.
Sumber: Utusan Online 4 Mac 2007 (14 Safar 1428)