Ahli sunah larang ithbat tempat bagi Allah
SOALAN: Sekiranya ada seseorang bukan muslim bertanyakan saya di
manakah Allah, apakah jawapan yang sesuai yang saya harus berikan
kepada beliau?
JAWAPAN:
Ustaz nukilkan di sini dialog Imam Abu Hanifah dengan seorang ateis
(orang yg tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan) bernama
Dahri untuk bacaan, sekali gus hujah-hujah logik yang digunakan oleh
Imam Abu Hanifah boleh membantu dalam menjelaskan persoalan di manakah
Allah?
Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakyah
Yahudi bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan
umat Islam.
Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahaskan
soal-soal yang berhubung kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama
Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut,
hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak
ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup
berhadapan dengannya.
Akhirnya wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman
Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang hebat ketokohannya serta
kredibilitinya.
Khalifah memerintahkan perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri
disegerakan. Dan ia mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota
Baghdad. Sehari sebelum itu, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan
orang ramai.
“Maha suci Allah, maha suci Allah, maha suci Allah, sesungguhnya aku
tiada daya usaha melainkan melainkan Allah lah pelindungku Tuhan yang
maha tinggi lagi Maha Agung”. Lidah Imam Hammad terus melafazkan
kalimat menyucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi zat yang Maha
Agung. Dia beristighfar terus.
Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, murid Imam Hammad
yang paling rapat dan yang paling disayanginya. Namanya yang sebenar
ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih remaja. Bila ternampak
keadaan gurunya yang gundah gulana itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk
mendapat kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan yang sebenar.
Membantu guru
Beliau juga memohon izin membantu gurunya berdepan dengan si Dahri.
Maka berangkatlah ilmuwan belasan tahun itu bersama gurunya ke Masjid
Jamek di mana majlis dialog akan diadakan yang dihadiri oleh orang
ramai dan Khalifah. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya,
Dahri mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang
dari atas pentas.
“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahuinya pasti
menjawabnya!” Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan
menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut. Matanya
memandang tajam mata Abu Hanifah yang masih muda.
“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut
cabaranku…Sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan
berjubah labuh telah ku kalahkan…!” Lantang suara Dahri membidas Abu
Hanifah.
“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “Sesungguhnya Allah tidak
mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang
labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang
berilmu dan bertakwa”.
Abu Hanifah lalu membacakan firman Allah s.w.t yang bermaksud: Allah
telah meninggikan darjat orang beriman dan berimu antara kamu beberapa
darjat. (Al-Mujadalah: 11)
Geram rasanya hati Dahri mendengarnya kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog.
“Benarkah Allah itu wujud?,” soal Dahri memulakan majlis dialognya.
“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.
“Kalau Allah maujud (wujud), di manakah tempatnya..?” Suara Dahri semakin meninggi.
“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat!” jelas Abu Hanifah.
“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula…?” bantah Dahri sambil tersenyum sinis kepada hadirin.
“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu
sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa…,” Abu Hanifah berhujah.
“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa…!,” sahut Dahri.
“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu itu…?
Dikepalakah, diperutkah atau adakah dihujung tapak kakimu..?” Tersentak
Dahri seketika.
Setelah itu Abu Hanifah mengambil segelas susu lalu lalu berkata: “Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak…?”
Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan!”
Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu di manakah lemak itu
berada…? Di bahagian atasnya atau di bawahkah…?” Sekali lagi Dahri
tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu.
“Untuk mencari di manakah roh dalam jasad dan di manakah kandungan
lemak dalam susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat
menjangkau di manakah beradanya Zat Allah s.w.t di alam maya ini? Zat
yang mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal
dangkal kita ini, pun ciptaan-Nya, yang tunduk dan patuh di bawah
urusan tadbir kerajaan-Nya Yang Maha Agung…!”
“Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti…” soal Dahri lagi.
“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah s.w.t dan
tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepas-Nya. Allah tetap Qadim
dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah,
ringkas tapi padat.
“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu….Tuhan wujud tanpa ada
permulaannya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi
yang selepas-Nya….?,” Dahri cuba berdalih dengan minda logiknya.
Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan, “Ya! Dalilnya ada pada
diri kamu sendiri. Cuba kau lihat pada ibu jari mu itu. Jari apakah
yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jarinya
ke langit.
Tidak terfikir
Beberapa hadirin turut berbuat demikian. “Dan pada jari manis kau
itu, ada lagikah jari yang selepasnya…” Dahri membelek-belek jarinya.
Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang diambil oleh Abu
Hanifah.”
“Jadi…! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun, tidak mampu
kita fikir, apatah lagi Allah Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu
pun yang mendahului-Nya dan tiada sesuatu yang kemudian selepas-Nya.”
Sekali lagi Dahri tercenggang. Bungkam. Namun masih tidak berputus
asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di
khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh
tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea.
Semacam suatu ilham baru telah menyuntik mindanya, iapun tersenyum lalu
bertanya.
“Ini soalan yang terakhir buat mu, hai.. budak mentah!,”. Sengaja
Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu terperosok, dan
seolah-olah memperkecilkan kemampuan Abu Hanifah.
“Allah itu ada, kata mu. Ha! apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.
“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat
yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” katanya. Pemuda
ideologi Ad-Dahriyyun yang sedari tadi mentalitinya dicabar terus,
berjalan turun meninggalkan mimbar masjid Jamek, memberi tempat untuk
Abu Hanifah:
“Wahai sekelian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini
ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas
mimbar, diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah
menaikkan yang hak sebagaimana aku, yang berada di sana, telah
dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini… !”
Bagai halilintar, hujah Abu Hanifah menerjah ke dua-dua pipi Dahri.
Seiring dengan itu bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka
memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang berjaya menyelamatkan maruah
Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Dialah yang awal dan dialah yang
akhir, dan yang zahir dan yang batin, dan dialah yang mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu. (al-Hadid: 3) dalam ayat yang keempat daripada surah
yang sama Allah berfirman yang bermaksud, … dan dia tetap bersama kamu
di mana sahaja kamu berada.
Maksudnya Allah s.w.t sentiasa mengawasi manusia dengan ilmunya,
memerhati, mendengar serta berkuasa ke atas mereka biar di mana sahaja
mereka berada. Di dalam fahaman ahli sunnah adalah ditegah mengishbat
tempat bagi Allah, dengan menentukan lokasi baginya.
Hanya makhluk sahaja yang memerlukan tempat, namun Allah s.w.t
tidak sama dengan makhluk, dan tidak memerlukan apa yang diperlukan
oleh makhluk.
Sebarang soalan untuk ruangan Kemusykilan Agama boleh dihantar
melalui e-mel ke agama@utusan.com.my atau ke Ruangan Agama, Utusan
Malaysia, 46M, Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-9222 4967
Sumber: Utusan Online (http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm